Quantcast
Channel: LENSA KAMERA
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26

Melaka Maju 2010

$
0
0
Tahniah kepada semua penduduk Melaka yang kini bergelar negeri maju. Setinggi tahniah juga kepada semua pemimpin negeri Melaka yang mencetuskan wawasan menjadikan Melaka berstatus negeri maju, terutama wawasan pemimpin negeri ini 10 tahun lalu yang turut disokong oleh jentera pentadbiran negeri dan telah berjaya menghadapi cabaran untuk memenuhi impian itu. Bagi tempoh 10 tahun akan datang, kita tunggu pula bagaimana Melaka mengharungi cabaran untuk menjadi negeri Bandar Teknologi Hijau yang pertama di Malaysia.

Sebenarnya dalam konteks Malaysia, status 'maju' merupakan wawasan semua kerajaan negeri. Memang mudah memasang impian dan mencetuskan wawasan untuk mencapai status negeri maju. Namun begitu, kenyataannya adalah berapa ramai pemimpin negeri lain yang terpaksa melupakan impian itu dan akur kepada realiti atau dalam lain perkataan 'impian tidak menjadi kenyataan'. Senario sebegini banyak terjadi termasuk di negeri kelahiran aku, yang suatu masa dahulu pernah mewar-warkan wawasan untuk menjadi negeri maju pada 2010 tetapi kini telah menukar wawasan untuk hanya menjadi sebuah Negeri Sejahtera!!

Mencapai status negeri maju bukan hanya sekadar satu barisan perkataan yang terpampang pada papan iklan besar di tepi jalan tetapi lebih dari itu ia memerlukan komitmen jitu kepimpinan negeri itu sendiri. Sememangnya aku kagum dengan prestasi negeri Melaka yang berjaya memenuhi 29 daripada 32 indikator yang ditetapkan sebagai kriteria untuk diiktiraf negeri maju. Sementelahan, pengiktirafan itu diberikan oleh pihak luar dan tentu sekali Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpangkalan di Paris melihat pencapaian Melaka telah memenuhi kriteria yang ditetapkan itu. Malah apa yang lebih membanggakan adalah apabila terdapat di antara 29 indikator tersebut yang pencapaiannya lebih baik dari negara maju.

Apa yang paling penting dalam episod ini adalah inisiatif pemimpinnya ke arah menjadikan Melaka negeri paling bersih di Malaysia melalui pendekatan "MENCARI SAMPAH DAN BUKANNYA MENGUTIP SAMPAH".

Pendekatan ini sebenarnya menuntut perubahan minda yang merubah sama sekali pendekatan Pihak Berkuasa Tempatan dalam aspek pengurusan sampah di peringkat pertengahan. 'Mengutip sampah' membawa konotasi bahawa hanya sampah sarap yang kelihatan pada pandangan mata (atau yang dikumpul) sahaja akan dipungut untuk dilupuskan. Sebaliknya 'mencari sampah' membawa konotasi yang jauh lebih mendalam dan ianya meliputi perbuatan mencari dan mengutip sampah sarap yang tersorok untuk dilupuskan!

Sekiranya pendekatan ini turut diamalkan oleh semua kepimpinan negeri lain di Malaysia, nescaya Malaysia pasti dapat menandingi negara jiran, sekurang-kurangnya dalam aspek kebersihan. - Jothmen

Viewing all articles
Browse latest Browse all 26